20.12.2012. Cantikkan tarikh ini? Tapi tak ada apa yang signifikan pun tarikh ini cuma ianya adalah saat di mana keluarga saya dari Kelantan berkumpul di rumah kami di Villa Nur Qaseh sempena majlis pertunangan Nana. Selain bonda, kedua dua kakak dan abang ipar telahpun sampai malam tadi. Manakala abang saya dan keluarganya akan menyusul petang atau malam nanti. Cuma adik bongsu saya, Cik gu Hasliza dan keluarganya akan datang esok kerana masih perlu menyelesaikan tugasan.
Sejak berpindah masuk ke rumah ini, 2 tahun yang lalu, inilah kali pertama semua adik beradik saya akan turun ke Kuala Lumpur. Maklumlah semua adik beradik saya tinggal di Kelantan. Hanya saya sahaja yang tinggal di sini. Tetapi hubungan kami sangat rapat dan saling tolong menolong. Malahan saya merasakan Villa Nur Qaseh adalah terbina dengan semangat saya sebagai wanita Kelantan yang sejati. Barang barang pembinaan yang banyak dibawa dari Kelantan seperti kayu cengal untuk tingkap dan pintu. Walaupun anak anak tidak tahu bercakap loghat Kelantan, namum saya merasakan mereka anak Kelantan yang dibesarkan dengan semangat Kelantan yang menebal dalam diri saya. Kalau ikutkan, saya mahu masakan yang dihidangkan di majlis kami adalah masakan Kelantan yang dimasak oleh Tukang Masak yang di bawa dari Kelantan. Namun dek kesihatan yang tidak mengizinkan, saya hanya menempah dari katerer sini sahaja.
Aduh apa pulak saya pagi ni. Dari nak menulis pasal kuih Talam Durian, dah jauh pulak terpesongnya. Sebenarnya saya menyediakan kuih ini sebagai hidangan petang untuk dimakan sambil sambil berkumpul. Masih banyak durian yang saya simpan dalam freezer, jadi saya fikir eloklah dibuat kuih muih yang berasaskan durian. Lagi pulak, saya sendiri memang peminat durian. Sedap dan sedang elok jer kemanisan kuih ini. Jika rasa ingin cuba membuatnya sendiri, boleh semak resepinya di bawah ini.....
Kuih Talam Durian
Oleh: Azie Kitchen
Lapisan Bawah:
1 cawan durian
1/2 cawan gula pasir
1 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung kastad
2 cawan santan cair
Secubit garam
Sedikit pewarna kuning
Cara:
Panaskan loyang. Alaskan loyang bulat saiz 8 inci dengan plastik dan spray dengan minyak.
Blend semua bahan dan tuangkan ke dalam loyang.
Masukkan dalam kukusan dan kukus selama 30 minit.
Lorekkan permukaan lapisan bawah sebelum dituang permukaan bawah.
Bahan Atas:
1 cawan tepung beras
3 cawan santan pekat
3 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecil garam
Cara-cara:
Satukan semua bahan dan kacau sebati.
Tapiskan ke dalam kuali tak lekat dan kacau sebentar sehingga keluar wap dan pekat.
Tutup api dan tuangkan ke atas lapisan bawah.
Kukuskan lagi selama 20 minit.
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar