Kek Kukus Buah buahan Lembab

Bookmark and Share


 

Beberapa hari lagi, kami akan mengadakan rumah terbuka Aidil Fitri dan juga House Warming sempena masuk rumah baru. Maklum kami mempunyai ramai kawan dan kenalan dan jiran jiran yang bertanya bila lagi nak diadakan house warming.  Sebelum ini, kami hanya mengadakan majlis simple sahaja iaitu majlis tahlil.  Hubby menguruskan semua katering dan membuat pemilihan lauk pauk yang akan dihidangkan nanti.  Sempat juga dia bertanya kalau saya ingin memasak apa apa sebagai pencuci mulut, hahaha katanya kot nanti ditanya, yang mana satu kuih yang dihasilkan oleh Azie Kitchen.  Memikirkan kek buah buahan kukus sedap dibuat beberapa hari sebelum dimakan, bagi memastikan ianya cukup lembab, saya terus membuat keputusan untuk membuatnya selepas solat Isyak dengan dibantu Juita Ku Sayang.  Terlupa la pulak yang kek ini perlu dikukus selama  4 jam, dah siap membuat adunan semua tadi pun dah pukul 10.40 malam.  Alamak kena berjaga lah malam tadi, kunci jam bangun pukul 4.30 pagi pula kerana terpaksa tambah waktu mengukus.... hmmm silap perkiraan sebab bila nak buat jer, terus buat.  Tak boleh tunggu tunggu lagi, itu lah kelemahan saya dari dulu hingga sekarang.  

Bercakap pasal kek buah buahan kukus ini, ianya adalah salah satu dari kek yang saya sangat ingin buat dengan perfect. Saya tidak puashati dengan beberapa percubaan yang saya pernah buat sebelum ini. Terutama tang yang air gula hangus dituangkan ke dalam adunan kek. Berketul ketul dan bila di kacau rata pun, masih juga berketul.  Bila kek masak, terasa bahagian gula tidak merata, ada tempat yang terlebih gula, gitu lah.  Resepi diberi oleh kawan yang dikenali semasa menghadiri conference on Human Resource di sebuah hotel di Bandar Sunway.  


Pernah satu masa, saya memang kemaruk membeli kek buah di Coffee Bean yang harganya boleh tahan juga. Lembab bangat, dari situ lah saya menjadi sangat sangat teruja untuk menyediakan sendiri.

Percubaan kali ini, saya menggunakan resepi diana dari myresepi berdasarkan komen komen yang diberi yang sangat mengujakan, moist, lembab, yummy dsb.   Semuanya membuatkan kita menelan air liur jer. Hahaha nasib baik dah tak lagi dalam bulan puasa ya. 

Jom kita layan resepi di bawah ...

 

Kek Kukus Buah-Buahan Lembab

Bahan-bahan ( 2 loyang 7 x 7 inci persegi )
600 gram tepung gandum
300 gram gula halus (blh kurangkan 2 sudu besar)
5 biji telur - gred A/ gred B -7 biji
2 1/2 buku (625 gram) mentega
1 kotak (500 gram) buah buah campuran
2 sudu teh bicorbonate of soda
1 sudu teh esen vanilla
Sedikit pewarna coklat (sarsaparilla liquid brown)

Kertas kuih
Aluminium foil


Gula hangus
2 cawan gula
1/2 cawan air

Cara-cara
Panaskan air dalam kukusan terlebih dahulu. Tepung gandum 600 gram, ambil sedikit dan gaulkan dengan campuran buah-buahan, gaul rata untuk salutkan tepung dengan buah-buahan. Ini akan dapat mengelakkan buah-buahan dari mendak ke dasar kek sewaktu ia dikukus.

Tepung gandum dan bicarbonate of soda diayak. Ketepikan.
Menggunakan whisk tangan, pukul mentega, gula sehingga kembang dan sebati.

Masukkan esen vanilla dan pewarna coklat sarsaparilla brown liquid dan pukul dengan kacau dengan tangan sehingga ia sebati.

Masukkan telur satu persatu dan pukul dengan tangan agak-agak sudah sebati sudah mencukupi, berhenti.

Bila masukkan telur tidak boleh terlalu dipukul ini akan mengakibatkan kek kukus nanti kering. Jadi memadai dengan telur dimasukkan satu persatu dan bergaul sebati dengan adunan mentega.

Masukkan tepung yang telah diayak kedalam adunan, gunakan spatula atau senduk plastik dan kaup balikkan satu pusing arah sehingga tepung bergaul sebati dengan adunan telur. Jangan terlalu menggaul adunan tepung, cukup dengan pusing kaup balik sehingga tepung sebati.

Menggunakan periuk non-stick yang ada handle, masak 2 cawan gula dan dengan api yang kecil masak gula sehingga ia cair dan bertukar warna coklat dan berbuih.  Masukkan air sedikit demi sedikit. Hati-hati gula hangus ni panas.

Sewaktu gula hangus panas, ia akan cair dan bila ia sejuk selalunya ia akan keras jadi sewaktu ia panas tuang kedalam adunan tepung dan kacau menggunakan senduk kayu (jangan pakai spatula plastic nanti cair) dengan cepat sehingga adunan sebati. Boleh minta pertolongan seseorang untuk tolong tuangkan gula panas jika anda rasa kekok membuat sendiri.

Akhir sekali, masukkan campuran buah-buahan dan kaup balik adunan, jangan terlalu digaul cukup hanya bila buah-buahan bergaul rata. Ini untuk menggelakkan buah-buahan mendap kedasar kek bila ia dikukus.

Alaskan kertas kuih didalam loyang dan sapukan dengan mentega dan salutkan dengan tepung. Kemudian tuang adunan tepung kedalam loyang dan pastikan air kukusan telah mendidih dan tutup loyang dengan aluminium foil dan kukuslah selama 4 jam. Masa mengukus boleh dikurangkan jika mahu tapi untuk kek tahan lebih lama kukuslah selama 4 jam.

Nota:  kukus menggunakan api besar selama 2 jam kemudian api perlahankan kepada sederhana untuk 1 1/2 jam lagi. Bila buat Kek Buah, cukup sekadar whisk dengan tangan dan jangan gunakan mixer, kerana jika terlalu dipukul adunan akan menghasilkan kek yang agak kering. Sebaiknya menggunakan campuran buah-buahan yang boleh anda beli dari Phoon Huat atau Bake with Yen, kerana buah-buahannya lebih lembab dan warnanya pun menarik.

Nota:
1/2 adunan menghasilkan kek buah berukuran 7 x 7 x 2 1/2 inci. Kek Buah ini boleh tahan selama 6 bulan, caranya bungkus dengan aluminium foil dan simpan dalam peti sejuk. Bila hendak menghidangkan, keluarkan 3 jam lebih awal dan biarkan ia lembut kemudian potong dan hidangkan.


Buah buahan digaul dengan tepung gandum


Tepung yang diayak bersama soda bikarbonat


Telur tengok saiz



Pukul butter dan gula hingga kembang
  

Masukkan esen vanilla, pewarna dan tepung yang diayak


2 cawan gula digoreng


Membuat gula hangus dg api perlahan


Gula hangus mula berbuih, sedia dituang dalam adunan


Selepas dimasukkan air gula hangus


Masukkan buah dan hanya kacau rata


Masuk dalam loyang yg diletak kertas kuih disapu mentega dan tepung


Tutup dg foil dan ikat dg tali


Sedia untuk dikukus


Kukus selama 4 jam, 2 jam pertama dg api besar



taadaaa siappp ...



Layannnn ...


{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar

Powered By Blogger