Kemaruk Dengan Masak Tempoyak Ikan Patin Liar Segamat

Bookmark and Share





Penghujung Januari yang lalu, saya telah membuat keputusan di saat akhir untuk mengikut hubby menghantar Boy ke UiTM Segamat selepas kereta beliau mengalami kerosakan dan masih dibaiki di workshop.  Memang nampak jelas di wajah Boy cahaya kesedihan kerana tidak dapat memandu balik ke kolej. Lagi pulak tiket bas semuanya sudah habis. Seperti biasalah, kalau saya ikut tu, pasti ada agendanya. Hahaha apalagi agendanya kalau bukan agenda Jalan Jalan Cari Makan (JJCM). Semasa menghantar Boy mendaftar di kolej dulu, kami telah singgah di satu restoran untuk makan tengahari dengan lauk lauk kampung yang sedap. Sejak itu, saya asyik teringat ingat keenakannya. Lebih enak apabila sahabat kami Dr Sabariah dan suaminya Abang Nasir telah belanja makan tengahari tersebut. Pernah sekali, kami cuba mencari restoran ini tapi tak berjaya menemuinya. Maklumlah mencari restoran yang bukan sahaja namanya tak diketahui tetapi juga lokasinya juga tak langsung dapat diingati. Dulu kami cuma mengikut jer kereta sahabat baik kami itu.

Jadi kali ini, saya berjaya menjejak lagi kaki ke restoran yang sama yang mana dulu saya sendiri pun tak perasan apa nama restoran itu. Hanya kali ini, baru lah tahu nama restoran itu ialah Restoran Asam Pedas. Itupun sebab mengikut jer kereta Abang Nasir. Kelemahan saya dalam  bab makan makan ni, ialah tak reti membuat pilihan lauk pauk kerana saya seorang yang sangat membosankan. Bila suka sesuatu lauk, akan pilih lauk yang sama jer setiap kali makan di satu satu kedai. Jadi lauk pilihan saya yang dimakan secara berhidang ialah Pajeri Nenas atau terung, telur masin dan Asam Pedas Ikan Mayong. Tapi kali ini pajeri tak ada lah pulak. Abang Nasir pula mengambil Masak Lemak Ikan Baung, Sambal Tempoyak dan Ulam ulaman. Apabila Dr Sabariah tiba untuk sama sama makan tengahari, beliau menambah lauk Masak Tempoyak Ikan Patin. Haaa inilah bermulanya segala galanya. Dr Sabariah yang saya panggil Kak Sab meminta saya mencuba lauk Ikan Patin yang dikatakan sangat sedap tapi saya menolak sehingga hubby suruh saya mencubanya. Aduhaai bila dah cuba, sampai licin saya makan. Memang sedap kerana ikannya langsung tak terasa hanyir dan kuahnya pulak, sangat sedap. Dari situ, baru saya diberitahu yang ikan yang diguna adalah ikan patin liar dari sungai dan tempoyak yang segar. Hari itu, saya balik dengan membawa bersama keenakan ikan patin masak tempoyak di dalam ingatan.







Semalam semasa hubby ke Segamat untuk mengambil Boy balik bercuti sempena cuti Perayaan Tahun Baru China, saya memesan supaya hubby membeli lauk pauk dari Restoran Asam Pedas dan sudah semestinya Masak Tempoyak Ikan Patin, Asam Pedas dan Sambal Tempoyak. Serius meleleh air liur terbau keenakan masak tempoyak ini bila saya masuk sahaja ke dalam kereta. Terus menghantar mesej pada Nana supaya dimasakkan nasi putih. Anda bolehlah bayangkan bagaimana saya terus makan sesampai di rumah dengan tak sempat menyalin baju. Sedap, sangat sedap dan teramat sedap. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Malahan hingga ke saat ini, saya masih seperti orang yang mabuk cinta yang angau teringatkan Masak Tempoyak Ikan Patin malam tadi. Hajat hati lauk dipanaskan untuk dimakan hari ini tapi bila hubby bertanya kalau saya tak mahu, beliau akan menghabiskannya. Jadi saya tak sampai hati, minta hubby menghabiskannya kerana tahu laling saya pun sangat menyukai Masak Tempoyak Ikan Patin. So, kena ke Segamat lagi lah selepas ini.....




{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar

Powered By Blogger