Hari ini saya memasak Kuah Lodeh lagi sebagai sarapan untuk Kak Yah dan famili memandangkan masih terdapat nasi impit yang direbus baru baru ini. Kali ini saya menggunakan resepi yang biasa saya gunakan apabila membuat Kuah Lodeh sejak berbelas tahun yang lalu. Resepi ini saya belajar dari bekas kawan sepejabat, Kak Yatie yang juga mengajar saya resepi Masak Soto Ayam di SINI. Beliau memang handal memasak terutama masakan Johor. Beliau pernah memasakkan Nasi Beriani Gam untuk kami sewaktu saya sedang sarat mengandungkan anak ketiga. Kami ke rumah beliau di waktu makan tengahari.
Selepas balik dari masjid, saya terus ke dapur untuk menyediakan Kuah Lodeh dan juga Sambal Kacang. Kalau Kuah Lodeh saya sebelum ini di SINI dibuat secara menumis bahan bahan kisar dan saya sediakan dengan Sambal Tumis Ikan Bilis, tapi resepi kali ini tidak ditumis. Saya menyediakan Sambal Kacang untuk dimakan dengan Kuah Lodeh di samping telur rebus dan tempe goreng.
Hmm kalau ditanya antara kedua resepi, masing masing mempunyai kesedapan tersendiri. Namun saya lebih suka resepi ini kerana rasanya lebih plain dan menggunakan bahan yang simple dan cepat disediakan. Itu pada selera saya lah, setiap orang mempunyai selera berbeza kan.
Jom layan resepi dulu....
Kuah Lodeh
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Kubis
Karot
Kacang panjang
Terung
Tauhu kering - rendam
Tempe - potong dan goreng
Tauhu - potong dan goreng (tak letak)
Cili merah - hiris
2 serai - ketuk
Udang hidup - buang kulit
Santan
Garam
Bahan kisar:
5 bawang merah
1/2 inci kunyit hidup
2 sudu besar udang kering
Cara cara:
Masak bahan kisar bersama santan cair dan serai sehingga hampir mendidih, masukkan udang diikuti dengan sayur yang keras sehingga yang lembut.
Masukkan santan pekat dan tauhu kering, cili merah serta garam. Sesuaikan rasa dan kepekatan.
Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Sambal Kacang
Segenggam kacang tanah
2 sudu besar cili - ikut suka pedas
Gula
Garam
Kacang tanah dibuang kulit dan digoreng tanpa minyak dan tumbuk. Panaskan minyak dan goreng cili sehingga betul betul garing. Masukkan gula dan garam.
Masukkan kacang tumbuk dan sedikit air. Sesuaikan rasa.
Sedia dihidangkan bersama nasi impit, kuah lodeh,telur rebus dan tempe goreng.
Selamat bersarapan...
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar