Soto Ayam Untuk Nana

Bookmark and Share





Saya menyediakan Soto Ayam sempena kepulangan Nana dari Ireland. Semasa di Dublin, Nana menghantar bbm memberitahu senarai makanan yang saya perlu masak semasa kepulangan beliau. Kelihatan Nana sangat merindui masakan Malaysia, lebih lebih lagi masakan saya yang hanya dapat disaksikan melalui blog Azie Kitchen sahaja. Antaranya yang diminta ialah Soto Ayam. Resepi Soto Ayam kali ini saya gunakan resepi CMG. Walaupun saya mempunyai resepi sendiri yang bertahun tahun saya gunakan, tetapi saya ingin mencuba resepi yang baru untuk tujuan mencari kelainan. 

Tapi sambal kicap hari ini, saya sediakan mengikut resepi yang dikongsi oleh Feeza. Semasa berkunjung ke rumahnya di Shah Alam dulu, Feeza telah menyediakan soto yang sangat sedap dan diberitahu bahawa sambal kicap menggunakan bawang goreng, Teringatkan itu lah yang menyebabkan saya menghantar mesej pada Feeza minta diajarkan cara cara membuat sambal kicap. Boleh rujuk resepi yang saya selalu gunakan di SINI.




Saya telah awal awal menyediakan begedil dan dimasak separuh masak sebelum disimpan di dalam freezer di SINI. Tujuannya supaya saya tidak terkocoh kocoh di saat akhir, maklum tugasan saya di pejabat sangat banyak.

OK sebelum kita layan resepi, saya saja nak berkongsi intipati kuliah maghrib yang saya hadiri yang menyentuh kehidupan kita sehari hari. Pesannya gini, setiap kali selepas mengambil wudhu, kita perlulah membaca doa wudhu kerana ianya boleh menyucikan keseluruhan jasad. Jasad orang yang sentiasa berwudhu akan kelihatan berseri dan bercahaya. Kalau kita tidak membacanya, hanya bahagian bahagian anggota wudhu sahaja yang disucikan.  Kan rugi itu. Lagipun ianya tidak mengambil masa yang lama untuk berdoa dengan mengadap ke arah kiblat. Jom sama sama kita amalkan mulai hari ini dan sekarang kita tengok resepi....




Soto Ayam
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan Kuah Soto:
1.5 kg rangka ayam - cuci bersih dan toskan

Isi Ayam - rebus dalam 30 minit, goreng dan carik
2 batang serai - dititik
1 inci lengkuas - dititik
1 pokok daun sup - kerat kasar2
1 genggam bawang goreng
Air secukupnya - anggaran 5 - 6 liter
2 camca besar rempah sup Adabi
1 1/2 camca besar rempah kurma Adabi


Bahan Kisar Halus:
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1.5 inci halia
4 biji buah keras
1/4 inci kunyit hidup
1 camca besar lada hitam biji

Bahan Tumis:
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih


Bahan Lain:
Nasi impit - potong dadu
Begedel
Taugeh - buang ekor dan goreng tanpa minyak sekejap
Cili kicap
Soo hoon - goreng
Kacang tanah - goreng
Daging ayam - dicarik halus
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng


Cara cara:
Untuk Kuah Soto:

Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis bahan bahan tumis hingga harum, masukkan serai, lengkuas dan bahan kisar halus, tumis hingga wangi. Rempah sup dan kurma, disatukan dan bancuh dgn sedikit air, kacau rata dan masukkan dalam periuk tadi, tumis hingga rempah sedikit garing.

Masukkan rangka ayam dan isi ayam, gaul rata dan biar kecut sekejap. Tuang air secukupnya, masukkan bawang goreng dan daun sup, kacau rata dan biar mendidih.

Keluarkan isi ayam dan digoreng seketika sebelum dicarik halus. Kecilkan api dan renih 1 - 2 jam, tambah garam, secukup rasa.



Untuk Soto Ayam:
Isi nasi impit secukupnya dalam mangkuk, tuang kuah. Letak begedel, dan bahan2 lain. Nikmati soto dengan sambal kicap.

Sambal Kicap Feeza:
Blend cili padi dengan bawang goreng dan kicap lemak masin. Masak cili dan masukkan cuka. Tutup api. Tumbuk bawang putih, kemudian goreng dengan sedikit minyak sampai warna keperangan. Tuang dalam cili tadi. Gaul rata.

Sambal Kicap CMG:
Tumbuk cili padi hingga halus, tambah gula dan bawang putih, tumbuk lagi hingga hancur, tuang kicap lemak masin secukupnya, kacau rata dan boleh gunakan.





 

{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar

Powered By Blogger