Puding Karamel - Resepi II

Bookmark and Share




Semasa berkunjung ke rumah terbuka sahabat kami, Maziah dan Syed di Taman Tun Dr Ismail, saya diminta mencuba Puding Karamel yang disediakan sendiri oleh Maziah. Kalau tidak kerana saranan Syed, memang saya tak bercadang mencubanya kerana saya telah kekenyangan selepas menikmati Rendang Pedas Ayam yang dimasak oleh Syed yang sangat sedap tu. Nanti bila saya dah sediakan rendang ini, saya akan sharekan resepinya. Jadi jangan ke mana mana, tapi tunggguuuuu.....  Lagi pulak, saya sudah mempunyai resepi Puding Karamel di SINI, yang memang menjadi resepi keluarga saya sejak lebih 20 tahun yang lalu. 

Tapi itulah, kalau tak dicuba, mana nak tahu sedap ke tidak, kan? Hmmm bila dah cuba, tak cukup satu, saya minta lagi satu Puding Karamel. Kalau tak malu, memang saya rasa macam nak minta lagi 2 atau 3 bekas. Memang sedap dan terasa lemak lemak manis, berbeza dengan Puding Karamel saya yang hanya menggunakan gula. Kesedapannya menjadikan saya terkenang kenangkan Puding Karamel walaupun badan dah jauh berbatu batu meninggalkan TTDI. 

Sedikit sahaja perubahan yang dibuat pada bahan yang digunakan, memberikan hasil yang berbeza. Selain itu, menurut Maziah gula hangus jika disediakan lebih awal dan disimpan di dalam peti sejuk semalaman, lebih sedap. Makanya kita kena sentiasa belajar dan mencuba resepi resepi orang lain juga sebagai menambahkan variasi kuih muih dan masakan kita.




Saya sediakan Puding Karamel ini untuk dihantar ke majlis jamuan raya di Surau Ad Dhuha dan juga untuk dibawa ke pejabat bagi jamuan makan kecil kecilan sempena meraikan hari lahir kawan kawan. 

Jom kita layan resepi Puding Karamel Maziah yang dipelajari dari buku resepi peninggalan arwah bonda beliau yang sedap dengan rasa gula hangus yang pahit pahit sedap. Tidak lupa saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Maziah dan Syed atas kesudian berkongsi resepi. Jom layaannn.....





Puding Karamel - Resepi II
Untuk: 20 bekas

1 tin susu pekat manis (kurangkan jika tak suka manis)
1 tin susu cair
1 tin air
5 - 6 telur - buang mata
Esen vanilla
1 1/2 cawan gula pasir
3 cawan air

Cara cara:
Goreng gula hingga perang. Bila gula bertukar warna, baru masukkan air. Masak sehingga menggelegak dan gula hangus menjadi cair semula. 

Tutup api dan biarkan sejuk sebelum disimpan dalam peti ais. Esok pagi, masukkan ke dalam bekas bekas kecil.

Telur dibuang mata dan dipukul tetapi jangan sampai berbuih. Masukkan semua bahan lain. Kacau sehingga sebati. 

Tuang ke dalam bekas kecil yang telah diisi dengan air gula hangus. 

Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Sentiasa di lap penutup pengukus supaya permukaan karamel menjadi cantik.






{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar

Powered By Blogger