Saat Yang Sangat Membahagiakan

Bookmark and Share





Memang tidak terkata gembiranya kerana selepas keberangkatan saya untuk menunaikan fardhu haji pada Disember 2006, inilah kali pertama bonda dan adik beradik saya berkumpul sekali lagi di rumah sempena majlis pertunangan anakanda sulung kami pada 22 Disember 2012. Bonda yang pada mulanya tidak bercadang untuk datang dek keuzuran, akhirnya bersetuju selepas dipujuk. Bonda saya pernah datang ke rumah ini sewaktu ianya masih dalam pembinaan dengan keadaan yang berselerak. 

Sejak habis belajar dan bekerja, saya memang bersendirian di Kuala Lumpur di mana semua adik beradik yang lain tinggal di kampung. Cuma sekarang apabila anak anak saudara telah habis belajar dan bekerja, barulah saya mempunyai anak anak buah di sini. Saya memang cemburu melihat kawan kawan yang mempunyai adik beradik di sini lebih lebih lagi jika tinggal berjiran. Maklumlah lebih mudah dan senang jika mempunyai saudara mara yang tinggal berhampiran.

Kehadiran kakak kakak, adik dan anak anak saudara sangat membantu dalam melancarkan persiapan majlis ini. Masih saya ingat macam mana anak anak buah saya bertungkus lumus membantu menyiapkan apa yang patut sehingga lewat malam. Semasa penyediaan Rainbow Cake In A Jar, setiap orang memegang satu piping bag bagi satu warna. Tugasan menjadi lebih mudah dan cepat apabila ianya dibuat secara beramai ramai seperti ini. Pasti detik dan saat itu akan kekal sebagai detik terindah dalam hidup saya. 

Apa yang boleh saya katakan saat saat berkumpul beramai ramai dengan adik beradik dan anak anak buah adalah saat yang sangat membahagiakan saya. Walaupun abang saya tidak tidur di rumah kami seperti yang diharapkan, namun kedatangan beliau dan anak menantu dan cucu cukup mengembirakan. Kepulangan mereka pada pagi hari minggu menjadikan hati saya sangat sedih dan sebak. Namun saya berpuashati kerana dapat menyediakan sendiri sarapan nasi lemak untuk hidangan pagi sebelum mereka berangkat balik. Selain sambal tumis ikan bilis, saya juga menyediakan telur rebus dan ayam goreng garam kunyit.






{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }

Posting Komentar

Powered By Blogger