Sementara semua keluarga saya ada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat kuih muih berasaskan durian. Insya Allah, petang nanti, adik bongsu saya dan keluarganya akan sampai. Kalau semalam, saya menyediakan Kuih Talam Durian, hari ini pula saya membuat Kuih Bingka Durian. Kalau tidak dibuat waktu ini, alamak susahlah untuk membuatnya di waktu lain kerana anak anak saya tak menyukai kuih kuih Melayu seperti ini. Berbeza dengan saya, yang sedari kecil hanya terdedah kepada kuih muih tradisional samada yang disediakan oleh bonda saya atau yang dijual di kedai kedai.
Kuih Bingka ini kalau di Kelantan dikenali dengan Kuih Bengkang. Ianya adalah dua perkara yang sama, cuma panggilan sahaja berbeza. Saya suka menyediakan kuih kuih bingka kerana ianya sangat cepat disediakan, masukkan kesemua sekali ke dalam blender dan siap untuk dibakar. Bakar dalam 1 jam atau sehingga garing sementara kita boleh melakukan kerja kerja lain.
Selain mudah dan cepat, saya memilih untuk membuat kuih Bingka hari ini kerana masih mempunyai stok durian yang dibawa balik dari kampung hubby dan disimpan di dalam freezer. Kalau untuk dimakan begitu sahaja atau untuk dimakan dengan pulut durian, rasanya dah tak berapa sedap. Jadi makanya, terjadilah kuih muih dari isi durian untuk hidangan kami petang nanti.
Jom layan resepi yang sangat mudah tetapi menghasilkan kuih yang sangat sedap. Apa lagi penggemar durian, jom cuba membuatnya sendiri di rumah sebagai hidangan petang untuk mengetahui bagaimana sedapnya....
Kuih Bingka Durian
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
4 biji Telur
350gm Gula Pasir
350gm Tepung Gandum
350gm Isi Durian (guna 400gm)
2 sb Tepung Beras
400ml Santan Kotak
300ml Air
2 sb Mentega Cair
½ st Garam
Pewarna Kuning
Sedikit bijan
Cara cara:
Masukkan kesemua bahan bahan ke dalam food processor/ blender sehingga sebati.
Tuangkan ke dalam loyang saiz 9 inci persegi (saya guna loyang saiz 10x7 inci) yg di lapik kertas aluminium dan diminyakkan. Tabur bijan dan bakar pada suhu 180C selama 1 jam atau sehingga masak dan garing permukaan nya.
Biarkan betul betul sejuk sebelum di potong dengan pisau plastik bagi menghasilkan potongan kuih yang cantik.
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar