Sejak kecil, saya selalu melihat kakak saya, Cik gu Asiah menyediakan Agar Agar Kering yang kami panggil "Belder" Kering di setiap kali hari raya. Agar agar ini selepas dipotong kecil akan dijemur di bawah panas matahari sehingga benar benar kering dan timbul gula kering di permukaannya. Antaranya yang paling tidak boleh saya lupakan ialah pada hari raya tahun 2004 di mana kakak saya membuat dengan banyak dan membekalkan Agar Agar Kering dan biskut biskut raya untuk saya bawa semasa mendaftar diri untuk pengajian di Universiti Malaya. Itu sebab saya ingat sangat tahun tersebut. Malah, itulah tahun terakhir kami membuat bersama sama kerana selepas menamatkan pengajian, berkahwin, bekerja, saya terus menetap di sini.
Seperti biasa, saya agak kurang suka makan makanan kudapan kecuali jika makan secara beramai ramai. Begitu lah juga dengan bekalan yang dibawa. Ramai kawan kawan datang ke bilik saya di B305 Kolej Ketiga untuk sama sama menghabiskannya. Antaranya Norma Salwa yang suka makan Agar Agar Kering yang saya bawa. Sehingga kini, saya belum pernah lagi membuatnya sendiri. Agar agar Kering hari ini disediakan oleh anak gadis saya, Juita. Saya cuma melihat lihat apa yang patut sahaja. Inilah gambar setelah dikeringkan selama beberapa hari di bawah panas mentari.
Bila memikirkan apa yang ingin dibuat sebagai hantaran majlis pertunangan Nana, saya terus teringatkan Agar Agar Kering yang memang cantik, sedap dimakan begitu sahaja dan yang paling penting boleh disimpan lama. Oleh kerana kakak saya tak ingat resepi yang digunakan, saya terus mencari resepi dalam google dan akhirnya terjumpa di beberapa blog tapi saya memilih resepi dari blog resepidaria kerana tertarik dengan apa yang ditulis. Memang saya puashati dengan resepi ini kerana ianya secukup rasa sahaja kemanisannya. Hmm suka suka suka sangat kerana berjaya menghasilkan sesuatu yang pernah dibuat suatu ketika dulu....
Jom kita layan resepi di bawah....
Bahan-bahan:
60 gm agar-agar bertali
1300 ml air
150 gm gula batu - diketuk halus
1200 gm gula pasir
Pewarna makanan (merah, oren, purple dan kuning)
Cara-cara:
Basuh dahulu agar-agar dan rendam sebentar sehingga lembut. Tapis dan buang airnya.
Masukkan air dalam periuk dan masukkan agar-agar. Masak sehingga agar-agar hancur dan sebati. Pastikan agar-agar benar-benar hancur.
Masukkan gula batu dan gula. Kacau rata. masak sehingga gula batu hancur. Angkat dan bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut warna pilihan.
Sejuk dan dan biarkan ia keras baru potong ikut bentuk pilihan anda. Anda boleh guna acuan untuk mendapatkan bentuk bentuk yang menarik.
Jemur ditempat yang panas sehingga ia benar-benar kering dan bergula. Balik-balik sentiasa supaya ia kering sekata.
Nota:
Anda boleh ketuk dahulu gula batu bagi ia menjadi ketulan kecil supaya ia cepat hancur baru masukkan dalam periuk.
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar